KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) — Takaful Ikhlas telah dipilih sebagai Jenama Terbaik Tahun Ini oleh Anugerah Jenama Terbaik PKS The BrandLaureate 2011 manakala insurans perubatannya, IMAT, memenangi kategori Penjenamaan Produk, Jenama Terbaik dalam Pelan Perubatan.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman, memenangi Anugerah CEO PKS Terbaik The BrandLaureate 2011.

The BrandLaureate dalam satu kenyataan berkata selain kategori anugerah penjenamaan produk dan korporat, personaliti dan ketua korporat terkemuka Malaysia juga diberi penghargaan dengan Anugerah Personaliti Jenama The BrandLaureate.

Ia berkata Datuk Ramly Mokni, pengasas merangkap pengerusi Ramly Food Processing dianugerahkan Tokoh PKS The BrandLaureate Tun Dr Mahathir Mohamad 2011.

Datuk Jalilah Baba pula, bekas ketua pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan kini pengerusi PKT Logistics Group Sdn Bhd, dianugerahkan Anugerah Wanita PKS The BrandLaureate – Tun Dr Siti Hasmah 2011.

Sementara itu, Datuk Michael Tio daripada PKT Logistics memenangi Usahawan PKS Terbaik The BrandLaureate 2011.

Anugerah Jenama Terbaik The BrandLaureate 2011, dianjurkan oleh Asia-Pacific Brands Foundation (APBF), yang bermatlamat untuk menghargai jenama terbaik daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

APBF, satu-satunya yayasan penjenamaan di dunia, ditubuhkan pada 2004 dengan sasaran meningkatkan tahap kesedaran penjenanamaan di Malaysia dan Asia Pasifik.