Peluang perkasa industri logistik negara

WAN Azhar Wan Yusoff (dua dari kiri) dan Michael Tio (dua dari kanan) dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Universiti Malaysia Pahang (UMP) Gambang di Kuantan, Pahang.

KUANTAN: Penuntut universiti perlu mengambil peluang menceburi bidang logistik dan penggunaan platform digital bagi memperkasa industri logistik seiring dengan hasrat Malaysia yang bakal menjadi hab logistik utama di wilayah Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan PKT Logistics Group Sdn. Bhd., Datuk Dr. Michael Tio berkata, pihaknya melihat keperluan tenaga kerja dalam bidang logistik bertambah dan memerlukan kerjasama daripada institusi pendidikan bagi menyediakan individu berkemahiran tinggi untuk bekerja dalam sektor itu.

“Paling penting sikap, cekap bertindak dan budaya kerja bersungguh-sungguh untuk bersaing dalam dunia yang lebih kompetitif. Gunakan masa sebaiknya untuk menimba ilmu pengetahuan dan ambil peluang bekerja untuk mendapatkan pengalaman. Pastinya kita boleh berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Siri Syarahan Profesional anjuran Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama PKT Logistics di Dewan Astaka UMP Gambang di sini semalam.

Program bertajuk Covid-19: Jalan Menuju Pemulihan Pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Impak Kepada Industri Logistik dikendalikan moderator, Profesor Madya Dr. Yudi Fernando daripada Fakulti Pengurusan Industri.

Menurut Tio, berdepan dengan situasi pandemik Covid-19, ia turut memberi kesan kepada rangkaian bekalan dan logistik yang menjadi pihak ketiga kepada penjual dan pembeli.

“Sebagai sebahagian petugas di barisan hadapan ketika PKP, kami juga telah mewujudkan kepelbagaian dan fleksibiliti terhadap rantaian bekalan untuk terus beroperasi. Peluang ini juga menjadikan kami lebih berinovasi dalam memberikan kemudahan dan memperkenalkan teknologi baharu dalam operasi syarikat,”katanya.

Bersempena program itu, turut diadakan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UMP dan PKT Logistics yang memberi peluang kedua-dua pihak merangka pembangunan akademik, penyelidikan, latihan industri, program keusahawanan dan penajaan.

UMP diwakili Naib Canselornya, Prof. Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Ts. Dr. Mohd. Rosli Hainin manakala PKT Logistics. diwakili Tio dan Pengarah Teknikal, M. Balakrishnan.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Norolazali Sulaiman dan Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat Kementerian Pengajian Tinggi, Mohd. Sharil Abdullah yang juga ahli Lembaga Pengarah UMP. – UTUSAN ONLINE